11 Disember 2025 — Biro Kebajikan Sosial (BKS) Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ) terus mempergiatkan usaha menyantuni komuniti setempat dengan mengadakan program Ziarah Kasih ke kediaman salah seorang jemaah tegar masjid, Encik Azmi, petang tadi.
Lawatan yang bermula kira-kira jam 5.15 petang itu diadakan sejurus selesai solat fardu Asar. Rombongan tersebut diketuai oleh Pengerusi BKS, Encik Ab Manaff Safien, dan diiringi oleh Ahli Jawatankuasa BKS, Encik Mazlan Hanfiah serta Encik Norsafari Awang, ahli kariah MTTJ.
Ziarah ini bertujuan untuk menzahirkan rasa simpati dan sokongan moral kepada Encik Azmi yang kini sedang mengalami masalah kerosakan buah pinggang. Difahamkan, beliau bakal menjalani prosedur pembedahan dalam masa terdekat.
Dalam pertemuan tersebut, Encik Ab Manaff turut menyampaikan sumbangan ikhlas daripada pihak MTTJ sebagai tanda ingatan dan bagi meringankan beban yang ditanggung.
BKS, mewakili pihak masjid, menitipkan doa buat Encik Azmi dan berharap agar proses rawatan beliau berjalan lancar, serta dapat kembali berjemaah bersama-sama di masjid.
Sesi ziarah tersebut berakhir sekitar jam 5.45 petang.
Catat Ulasan