12 Disember 2025 – Program Komuniti Pemeriksaan Kesihatan dan Lutut Percuma anjuran Klinik Adam Hawa (KAH) dengan kerjasama BREGO telah berlangsung pada pagi ini di foyer Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Temerloh Jaya (MTTJ). Program yang diadakan khas untuk warga Temerloh ini bermula pada pukul 9.00 pagi dan dijadualkan berakhir pada 12.30 tengah hari.
Program tersebut menawarkan tiga komponen utama pemeriksaan, iaitu Pemeriksaan Kesihatan Asas dan Ujian Darah, Pemeriksaan Lutut, Sendi dan Saraf, serta Pemeriksaan Fisioterapi. Antara pemeriksaan kesihatan yang disediakan termasuk pengukuran tekanan darah, paras gula, kolesterol dan asid urik. Selain itu, seramai 44 peserta terpilih menjalani ujian darah lanjutan bagi menilai tahap vitamin D dalam badan.
Bagi pemeriksaan lutut dan sendi, peserta menerima penilaian menggunakan mesin ultrasound bagi membantu mengenal pasti punca kesakitan dengan lebih tepat. Turut dijalankan ialah sesi konsultasi fisioterapi yang merangkumi pendidikan penjagaan sendi, teknik senaman serta kaedah pemulihan kekuatan otot dan fungsi lutut.
Program ini turut menyediakan 20 baucar rawatan percuma kepada peserta terawal yang hadir, sebagai galakan kepada masyarakat untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Catat Ulasan