Waktu Solat Temerloh Jaya

1 Ramadan

--- hari lagi

1 Syawal

--- hari lagi

1 Muharam

--- hari lagi

Maulid Nabi

--- hari lagi

MTTJ Meriahkan 1 Muharam Dengan Karnival Maal Hijrah 1448H


17 Jun 2026 — Sambutan Maal Hijrah 1448H di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ) berlangsung meriah apabila lebih 300 ahli kariah dan penduduk setempat hadir memeriahkan Karnival Maal Hijrah 1448H yang diadakan bermula seawal jam 6.00 pagi.

Bertemakan “Hijrah Membina Ummah, Menyubur Ukhuwah”, program anjuran Biro Dakwah, Biro Helwa serta Biro Pendidikan dan Sahsiah Remaja MTTJ itu berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti berbentuk keilmuan, kerohanian dan kekeluargaan.

Program dimulakan dengan Kuliah Subuh Khas Maal Hijrah yang disampaikan oleh Ustaz Amir Ridhwan Ahmad Zainuddin bagi memberikan suntikan semangat serta penghayatan mengenai erti hijrah yang sebenar dalam kehidupan umat Islam masa kini.

Penganjuran yang diterajui oleh Biro Dakwah, Biro Helwa, serta Biro Pendidikan dan Sahsiah Remaja MTTJ itu turut menampilkan pelbagai pengisian menarik, termasuk pertandingan azan yang menyaksikan penyertaan sengit daripada 20 orang peserta yang terdiri daripada 9 pelajar sekolah menengah dan 11 pelajar sekolah rendah. Pertandingan itu diadili oleh tiga orang juri berpengalaman iaitu Imam Muhammad Aizat Hafizi bin Zulkfle (Imam Masjid Abu Bakar, Temerloh), Azmiruddin bin Ismail (Guru Pendidikan Islam
SK Jalan Bahagia) dan Haji Othman bin Mohamad (Bilal MTTJ).

Selain itu, Pertandingan Mewarna bagi kategori kanak-kanak berumur enam hingga lapan tahun serta sembilan hingga 12 tahun turut mendapat sambutan luar biasa dengan penyertaan seramai 127 orang peserta. Kehadiran ibu bapa yang memberi sokongan kepada anak-anak masing-masing menambahkan lagi kemeriahan suasana sepanjang program berlangsung.

Seterusnya, aktiviti Memanah Terbuka yang dikelolakan oleh Kelab Memanah Taman Temerloh Jaya Indah turut menjadi tumpuan pengunjung. Aktiviti tersebut memberi peluang kepada peserta pelbagai peringkat umur mencuba sukan sunnah dalam suasana santai dan terkawal.

Selain itu, pengunjung turut berpeluang menyertai Kuiz Dewasa, Teka Silang Kata Dewasa, Kuiz dan Puzzle Kanak-Kanak serta Cabutan Bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik. Gerai-gerai jualan makanan dan minuman yang disediakan sepanjang karnival turut menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Sementara itu, Dr. Haji Abdullah Ismail, Pengerusi MTTJ yang memuji penganjuran karnival tersebut turut memaklumkan bahwa, masjid bukan hanya tempat ibadah, tetapi juga pusat pembinaan insan. Karnival Maal Hijrah ini membuktikan bahawa masjid terus subur sebagai medan mendidik, menyatu dan membangunkan ummah.

Kejayaan Karnival Maal Hijrah 1448H ini dilihat bukan sahaja berjaya menghidupkan suasana ketibaan tahun baharu Hijrah, malah turut menjadi medan menyuburkan ukhuwah dalam kalangan ahli kariah dan masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti yang merentasi semua peringkat umur.

Program berakhir sekitar jam 11.30.

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama