
5 Jun 2025 — Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ) sekali lagi menganjurkan Program Ukhuwah Bulanan pada malam ini, selaras dengan rutin bulanan yang diadakan pada setiap Khamis malam Jumaat minggu pertama, dalam usaha mengukuhkan ukhuwah serta menyemarakkan pengisian rohani dalam kalangan ahli kariah.
Program dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah, diikuti solat hajat yang diimamkan oleh Imam Nasrullah Abd Ghani. Beliau turut memimpin bacaan Yasin dan tahlil sebagai antara inti utama pengisian program pada malam tersebut.
Majlis diteruskan dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Pengerusi MTTJ, Dr. Haji Abdullah Ismail. Dalam tazkirahnya, beliau menekankan keutamaan dan kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijjah yang penuh dengan keberkatan dan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Beliau turut menyeru para jemaah agar tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk memperbanyakkan amal soleh dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dalam kesempatan tersebut, Dr. Abdullah juga merakamkan penghargaan kepada Krew Dapur MTTJ yang telah bertungkus-lumus menyediakan jamuan bagi para jemaah.
Program disempurnakan dengan solat Isyak secara berjemaah, sebelum para hadirin dijemput menikmati jamuan perdana yang disediakan khas oleh Krew Dapur MTTJ.
Program bulanan ini bukan sahaja menjadi simbol ukhuwah di kalangan ahli kariah, malah memperkukuh peranan MTTJ sebagai pusat ibadah, ilmu, kebajikan masyarakat dan pusat komuniti setempat.



























Catat Ulasan