
26 Julai 2025 — Satu majlis penghargaan telah berlangsung pada malam ini sejurus selepas solat Isyak bertempat di Bilik Mesyuarat Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ). Majlis ini diadakan bagi meraikan kejayaan Encik Ehsam bin Long yang telah mengharumkan nama MTTJ dan negeri Pahang amnya apabila berjaya meraih Naib Johan bagi Kategori Veteran Lelaki dalam Festival Memanah Tradisional OWL916 2.0 Peringkat Kebangsaan, anjuran Persatuan Memanah Tradisional Negeri Terengganu.
Majlis telah diacarakan oleh En. Nasran Hussin, Setiausaha KMMTTJ, yang memulakan acara dengan memperkenalkan latar belakang kejohanan serta pencapaian yang diraih oleh En. Ehsam. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan oleh Pengerusi MTTJ, Dr. Haji Abdullah bin Haji Ismail.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada En. Ehsam atas pencapaian yang amat membanggakan itu. Beliau menegaskan bahawa walaupun MTTJ menjadikan ibadah solat sebagai teras utama, fungsi masjid tidaklah terhad kepada ibadah khusus semata-mata. Sebaliknya, masjid ini berperanan sebagai pusat komuniti yang aktif, beroperasi 24 jam sehari dengan pelbagai program keilmuan, kebajikan, dan pembangunan sosial.
Antara inisiatif yang mendapat perhatian serius di MTTJ ialah penubuhan Kelab Memanah. Menurut beliau, kelab ini tidak wajar dianggap sebagai aktiviti sampingan, sebaliknya ia merupakan satu bentuk dakwah dan tarbiah yang berkesan.
“Kejayaan ini sangat membanggakan. Ia menjadi bukti bahawa usaha kecil yang dimulakan di peringkat masjid mampu memberi impak besar di peringkat kebangsaan. Justeru, ia wajar diketengahkan dalam laporan rasmi masjid sebagai model kecemerlangan,” ujar beliau.
Beliau turut mencadangkan agar Kelab Memanah MTTJ menjalin kerjasama dengan Kelab Memanah Taman Temerloh Jaya Indah (TTJI) serta sekolah-sekolah sekitar, bagi memperluas jangkauan dan menyatukan potensi yang ada. Latihan bersama secara mingguan atau bulanan diusulkan bagi memperkukuh jaringan komuniti.
Beliau mengakhiri ucapannya dengan mengharapkan agar Kelab Memanah Masjid Temerloh Jaya dapat menjadi simbol kecemerlangan, bukan sahaja di peringkat masjid, bahkan hingga ke peringkat negeri, kebangsaan, dan antarabangsa.
Majlis diteruskan dengan sesi penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata kepada Tuan Ehsam bin Long yang telah disempurnakan oleh Dr. Haji Abdullah bin Haji Ismail.
Turut hadir dalam majlis pada malam ini ialah Pengerusi KMTTJ, Tuan Haji Hafizan Samadi; Timbalan Pengerusi KMMTTJ, En. Ab. Manaff Safien; Timbalan Setiausaha MTTJ, En. Zulhanee Mohamed; serta Bendahari MTTJ, En. Mohd Safri Harun.
Acara kemudiannya diakhiri dengan sesi bergambar kenangan bersama para tetamu dan penerima penghargaan.
Pada 30 Mei lalu, majlis penghargaan turut diadakan bagi meraikan kejayaan Ustazah Afiza binti Akmal Hidzri, ahli Kelab Memanah MTTJ, yang telah meraih tempat ketiga dalam kejohanan memanah peringkat negeri Pahang. [Baca]
























Catat Ulasan